20 tahun saya dalam dunia kaunseling. Saya tak pernah lagi jumpa perkahwinan yang sempurna. Tiada dan tak mungkin ada.
Dalam perkahwinan kita perlu memilih apakah keutamaan kita. Jangan jatuh dalam perangkap syaitan yang mahukan semuanya dalam perkahwinan. Jangan sesekali.
Ada suami biasa-biasa sahaja mungkin tak dapat nak dibandingkan dengan suaminya duta atau CEO syarikat antarabangsa. Suami biasa-biasa ini pandai mandikan anak. Pandai juga masak dan sentiasa ringan tulang membantu mengemas dalam huru hara mainan anak. Suami ini juga tak kisah berpanas berhujan dalam perjalanan ke tempat kerja. Suami ini tak kisah tolak motor berkilometer untuk mengisi petrol yang habis dalam perjalanan. Suami ini juga betah menjaga anak bila isterinya pulang lewat malam dari kerja yang memerlukan.
Ada suami memang tebal poketnya. Apa yang ada dalam pasaraya mampu dibelinya dengan senyum di muka. Tetapi dia tidak betah pulang awal membantu mengemas atau memasak makanan untuk memberi anaknya makan.
Dia juga kekok memandikan anak yang dia sangat sayang. Masanya banyak memikirkan perniagaan atau perusahaan yang dia dipertanggungjawabkan. Namun, dia boleh memberikan semua kesenangan dari pembantu rumah hinggalah supir memandu kenderaan.
Ada suami tidak lagi sesuai dalam dunia perkerjaan. Tidak dapat memberikan lagi nafkah untuk keluarga tersayang. Tetapi dia pandai membawa diri sebagai suami yang mengambil alih sebahagian peranan isteri. Mengendalikan rumahtangga selagi nyawa di kandung badan.
Begitulah dunia perkahwinan. Kita perlu panjatkan kesyukuran.
Yang mahu suami kaya mungkin akan jadi sombong rupanya. Allah bagi dia suami biasa-biasa.
Yang ada suami kaya mungkin kononnya mahu suami biasa-biasa, agar ada masa bersama. Allah beri suami kaya dengan sedikit masa kerana Allah Maha Mengetahui ujian apa yang sesuai untuknya.
Ada yang mahu suami tetapi Allah belum beri. Juga kerana Allah Maha Mengetahui.
Ada yang tidak mahukan lagi suami yang ada tetapi Allah masih belum izinkan penceraian kerana Allah Maha Mengetahui.
Jadinya kita ini atas apa juga ujian, bersyukur pada yang ada dan teruskan doa supaya Allah berikan ujian bersama kekuatan.
by NORMALIZA MAHADI
Ingatlah Allah ini adalah Penguasa Sekalian Alam!
#copypaste #notadirisendiri
No comments:
Post a Comment